Thursday, February 25, 2016

الرَّحِيْم
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
Sekalung penghargaan buat bentara bicara, sekalung budi buat penjaga masa, kombinasi kehakiman yang arif lagi bijaksana, barisan pendidik yang berjasa, dan seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
Salam diberi pembuka bicara,                                                                                                            untuk santapan para tetamu,                                                                                                                 hari yang indah berwajah ceria,                                                                                                         arena syarahan kita bertemu.
Sidang penonton penuh santun.

Tampilnya saya menyahut cabaran, mengota janji, meniti pentas yang mencabar ini adalah untuk mempaksikan satu ungkapan unggul “Wasatiyyah Tunggak Kesatuan Ummah”.
Sebelum lidah melontar madah, sebelum tangan tarikan gaya, berikan saya sedikit waktu, menerang maudhu’. Menurut Profesor Dato’ Dr Ismail Ibrahim , Wasatiyyah bermaksud pertengahan. Tonggak pula  diertikan  sebagai  asas  atau  dasar  sesuatu  kepercayaan.  Manakala ,kesatuan  bermaksud  gabungan  yang  bertujuan  menjaga  kepentingan  sesuatu dan ummah didefinisikan sebagai masyarakat atau manusia.Para hadirin,  begitulah definisi tajuk syarahan yang akan saya kongsikan dengan hadirin sekalian.

Hadirin yang dirahmati ALLAH,

Wasatiyyah satu ciri penting dalam Islam yang meletakkan keadilan menjadi rujukan bagi seluruh umat manusia sebagaimana yang telah disebutkan ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat ke 143 :
Yang bermaksud

“Demikian juga Kami jadikan kamu wahai umat Muhammad sebagai umat terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi saksi terhadap umat manusia pada hari kiamat kelak dan
Rasulullah pula akan menjadi saksi terhadap kamu...”.

Para ulama’ mentafsirkan wasatiyyah sebagai satu sifat adil, yang melayakkan umat ini menjadi saksi di hari akhirat. Namun dalam pengertiannya yang lebih luas, wasatiah itu merangkumi ciri-ciri seperti keadilan,kebenaran,keseimbangan,kesempurnaan dan menepati fitrah.


Wasatiyyah satu amalan yang amat penting kerana ia dapat menjamin wujudnya kesatuan di kalangan sesama umat manusia secara umumnya. Dengan sifat wasatiyyah ini, ianya mengutamakan ketaqwaan kepada Allah SWT tanpa membezakan bangsa, budaya, bahasa dan warna kulit.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Wasatiyyah yang mengikut ciri-ciri yang sebenarnya itu amat berperanan sebagai tonggak kesatuan umat apabila tuntutan-tuntutan yang terkandung di dalamnya dapat diamalkan dengan baik oleh segenap lapisan masyarakat pada hari ini.

Antara tuntutan yang terkandung di dalam amalan wasatiyyah ini ialah supaya kita sentiasa bersikap adil mengikut syariat Islam; sama ada adil dalam membuat sesuatu keputusan,dalam menangani setiap perselisihan dalam memberikan hak kepada orang yang patut menerimanya.


Antara perkara yang dituntut juga di dalam amalan wasatiah ini ialah supaya kita sentiasa mengamalkan sikap bersungguh-sungguh, tekun dan istiqamah, sesuai dengan syariat Islam yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w tanpa meringan dan mengabaikannya.



Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7;
Yang bermaksud

“Apa jua yang diberikan oleh Rasulullah (sama ada pemberian atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat berat azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya)”.

Hadirin hadirat yang dimuliakan

Jelaslah, bahawa sikap mengamalkan wasatiah yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menepati fitrah umat manusia seluruhnya.

Amalan wasatiyyah secara tidak langsung juga dapat mendidik kita semua agar tidak bersikap melampaui batas serta tidak bersifat taksub sehingga menafikan kebenaran dalam apa jua keadaan.

Sikap-sikap negatif seperti ini sesungguhnya tidak akan dapat mewujudkan kesatuan di kalangan sesama umat manusia. Sebaliknya pula sikap ini hanya akan menjadi punca berlakunya perselisihan dan pesengketaan di dalam masyarakat yang ada pada hari ini.
Hadis daripada Jubair bin Mut’im bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
Yang bermaksud

“Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang mengajak kepada asabiyyah, bukan dari kalangan kami sesiapa yang berjuang atas dasar asabiyyah dan bukan dari kalangan kami sesiapa yang mati kerana memperjuangkan asabiyyah”. (Riwayat Abu Daud)

Para hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Sebagai kesimpulannya, pengajaran yang dapat kita renungkan daripada syarahan hari ini
ialah,  amalan  wasatiyyah  mengandungi  beberapa  ciri  penting  yang  menjadikannya
sebagai tonggak kepada kesatuan umat. Antaranya adalah;
1.    Mengutamakan prinsip keadilan di dalam masyarakat.
2.    Mengutamakan keseimbangan dalam kehidupan.
3.    Berpegang teguh kepada syariat Islam tanpa mengabaikannya.
4.    Menjauhi sifat taksub yang boleh merosakkan diri sendiri dan orang lain

Sekian,       saya   sudahi   syarahan   saya   dengan   wabiillahi   taufiq   wal   hidayah


wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

made by:Hazrol

No comments:

Post a Comment